- Lain-lain
China, Mongolia Ikrar Perkasa Kerjasama BRI (2)
China bersedia bersama Mongolia memperkukuh penyelarasan antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan visi 'Laluan Padang Rumput', dan mendorong pembinaan Koridor Ekonomi China-Mongolia-Rusia.
Demikian kata Presiden China, Xi Jinping ketika bertemu rakan sejawatnya dari Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh di Wisma Tamu Negara Samarkand di Uzbekistan petang Khamis.
Xi menyatakan kerjasama China-Mongolia dalam pelbagai bidang mencapai hasil memberangsangkan, sementara hubungan bilateral terus berkembang maju.
China dan Mongolia hendaklah memperkukuh ikatan persahabatan, saling membantu dan mempergiat kerjasama saling menguntungkan sehingga menjadi contoh baik hubungan sesama jiran.
Selain itu, kedua-dua negara perlu mengukuhkan komunikasi strategik dan penyelarasan dasar, menghormati jalan pembangunan satu sama lain yang dipilih rakyat, dan saling menyokong dalam isu membabitkan kepentingan teras.
Khurelsukh menghargai sumbangan China dalam memelihara keselamatan dan keamanan dunia, sambil berkata pihaknya akan terus menyokong pelaksanaan BRI serta Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global yang dikemukakan China.
Beliau turut menyuarakan kesediaan untuk mengukuhkan penyelarasan strategi pembangunan dengan China, di samping meningkatkan kerjasama pragmatik melibatkan ekonomi, perdagangan, projek landasan kereta api, alam sekitar dan sebagainya.