- Lain-lain
Tiga Konsistensi Beijing dalam Kendali Hubungan China, AS
Menteri Luar China Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS).
Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Beijing, pada Jumaat.
Sepanjang perbincangan, Wang berkata hubungan China-AS secara umumnya kembali stabil, menyaksikan kekerapan dialog dan kerjasama pelbagai bidang bertambah, yang turut mendapat sambutan baik rakyat kedua-dua negara dan juga masyarakat antarabangsa.
Beliau mengakui masih wujudnya unsur negatif dalam hubungan China-AS, selain berdepan pelbagai gangguan dan sabotaj.
Hak pembangunan China yang sah ditindas secara tidak munasabah dan kepentingan teras China sentiasa dicabar, tambah beliau.
Justeru, Menteri Luar menegaskan sikap konsisten yang ditunjukkan Beijing ketika melihat dan mengembangkan hubungan China-AS dari perspektif visi komuniti berkongsi nasib sesama insan.
"Kami (China) sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap rakyat, dunia dan masa hadapan," jelas Wang.
Beliau berkata China berpendirian konsisten dalam menggerakkan pembangunan hubungan kedua-dua negara yang stabil, sihat dan mampan berasaskan prinsip saling hormat, wujud bersama secara damai dan kerjasama saling untung.
Selain itu, Wang juga memberi penekanan kepada tuntutan China yang kekal konsisten, iaitu saling menghormati kepentingan teras satu sama lain.
"AS tidak seharusnya mencampuri urusan dalaman ataupun menindas pembangunan China.
"Jangan injak garis merah China apabila ia berkaitan dengan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan China," ujar beliau.
- Antony Blinken Bakal Lawat China
- Kumpulan Kerja Ekonomi China-AS Adakan Mesyuarat keempat
- China, AS Setuju Tingkatkan Dialog dan Kawal Perselisihan
- Setiausaha Perbendaharaan AS akan Lawat China
- Presiden Xi Bertemu Wakil Kalangan Perniagaan, Strategik dan Akademik AS
- Peningkatan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Kondusif bagi China-AS - PM Li
- Pegawai Kanan Keselamatan Awam China, AS Bertemu di Vienna
- Wang Yi Bertemu Blinken
- Mesyuarat Kumpulan Kerja Ekonomi China-AS ke-3 Diadakan
- Wang Yi : Bina Jalan Betul dalam Hubungan China-AS