99精品视频在线观看直播,91精品不卡在线播放,中文无码日韩欧AV影视,另类综合一区二区

Dari Puncak Gunung ke Puncak Podium

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 01 Februari 2024
Dari Puncak Gunung ke Puncak Podium

Yudron Lhamo dari wilayah Tibet di barat daya China muncul sebagai juara pertandingan mendaki gunung ski peringkat negara yang pertama selepas merebut pingat emas acara itu pada Sukan Musim Sejuk Nasional ke-14, Selasa lalu.

Ini merupakan kali pertama wilayah Tibet menghantar wakil ke Sukan Musim Sejuk Nasional, bertepatan pula dengan debut acara pertandingan mendaki gunung ski.

Bagi atlet berusia 19 tahun ini, pingat emas yang dibawa pulang kali ini bukanlah yang pertama. Pada Februari 2023, dia mengharumkan nama negara dalam kategori pecut wanita U20 semasa Kejuaraan Dunia anjuran Persekutuan Mendaki Gunung Ski Antarabangsa (ISMF). Kemenangan itu menjadikannya juara dunia pertama China untuk acara mendaki gunung ski.

Sukan mendaki gunung ski, yang menggabungkan kemahiran mendaki gunung bersalji dengan teknik ski, dijadualkan membuat debut Olimpik pada Sukan Musim Sejuk 2026. Sukan ini menguji stamina dan juga kekuatan tekad seseorang itu.

Mendaki sudah menjadi suatu kebiasaan buat Yudron Lhamo yang membesar di kaki gunung salji. Lahir di sebuah kampung kecil di kaunti Gongbo Gyamda, Tibet, dia membantu ibu bapanya mengutip kulat beluncas dan cendawan matsutake sejak kecil, aktiviti yang membolehkan dia membina kekuatan fizikal.

Pada 2016, Yudron Lhamo yang ketika itu berusia 13 tahun dipilih untuk masuk ke sekolah sukan amatur di Nyingchi kerana kecergasannya yang luar biasa. Latihan di situ dikatakan mencabar, namun dia tetap tidak mengalah. “Saya perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada pesaing lain. Latihannya memenatkan, tapi saya jenis yang tak mudah patah semangat dan tak mahu gagal,” katanya, sambil menambah bahawa dia terus berlatih walaupun sudah pulang bercuti di rumah.

Dengan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 sebagai faktor mangkin, Tibet mula menggalakkan pembangunan sukan salji, inisiatif yang melahirkan atlet-atlet muda berbakat seperti Yudron Lhamo. Pada 2019, dia menyertai pasukan ski rentas desa wilayah dan kemudiannya terpilih untuk pasukan mendaki gunung ski negara pada 2022 kerana staminanya yang sangat baik serta ketangkasannya.

Bagaimanapun, meskipun membesar sekitar kawasan pergunungan yang puncaknya dilitupi salji, Yudron Lhamo pada mulanya kurang tahu tentang sukan-sukan salji.

“Dulu saya tak berapa tahu tentang aktiviti mendaki gunung ski, tapi semasa berlatih, saya dapati ia cukup menyeronokkan. Saya suka perasan meluncur turun bukit. Rasanya macam tengah terbang. Saya juga cekap mendaki. Mendaki gunung ski dah jadi minat utama saya,” jelasnya.

Biarpun kesibukan latihan dan pertandingan telah empat tahun menghalangnya daripada pulang ke pangkuan keluarga semasa Tahun Baharu Tibet, namun ini tidak menggoyahkan dedikasi Yudron Lhamo.

“Selepas bertanding dengan atlet antarabangsa terunggul, saya sedar bahawa saya perlu membaiki lagi kemahiran ski sendiri. Terus berlatih dan menguatkan diri, inilah yang terbaik yang dapat saya lakukan untuk keluarga.”

Jarak yang memisahkan Yudron Lhamo dan kampung halamannya tidak pun mengundang kesunyian. Sebaliknya, dia berasa ceria.

“Sukan bukan saja menjadikan saya lebih sihat dari segi fizikal dan mental, tapi juga mengisi diri saya dengan kemesraan daripada kawan-kawan sepasukan dan jurulatih.”

“Sasaran saya ialah hendak bersiap sedia sebaik mungkin untuk Olimpik Musim Sejuk 2026 di Milan-Cortina. Saya harap dapat mewakili China dan menunjukkan prestasi yang cemerlang.”

Video

Berita Berkaitan