- Lain-lain
Sepuluh Sorotan Ekonomi China Separuh Pertama 2023
Statistik menunjukkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat 5.5% pada separuh pertama 2023.
Sorotan pertama: eksport automobil elektrik, bateri li-ion, sel solar capai prestasi optimum
Eksport automobil elektrik, bateri li-ion dan sel solar menyaksikan pertumbuhan sebanyak 61.6%, menyumbang sekitar 1.8 mata peratusan kepada pertumbuhan jumlah eksport. Lebih separuh kenderaan tenaga baharu (NEV) dunia adalah di jalan raya China. Setakat 3 Julai, jumlah pengeluaran NEV di China mencatat 20 juta. Sebanyak 27 tahun telah diambil untuk mencapai angka 10 juta, namun hanya 17 bulan sahaja untuk mencapai 20 juta. Di barisan pengeluaran NEV di kawasan Delta Sungai Yangtze, lima unit NEV siap dipasang dalam masa satu minit. Hanya dengan memandu selama empat jam, semua komponen sokongan yang diperlukan boleh didapati.
Sorotan kedua: ekonomi sebenar semakin kukuh
Ekonomi sebenar adalah asas kepada pembangunan negara. China kini merupakan pengeluar 50% peralatan kuasa angin serta 80% peralatan fotovolta global, memberi sumbangan besar dalam mengurangkan kos penggunaan tenaga boleh baharu. Di samping itu, separuh pertama juga menyaksikan berjayanya pelayaran percubaan kapal persiaran besar buatan China pertama, serah terima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) sungai-laut yang terbesar di dunia serta ulang tahun pertama pelancaran Kapal Angkut Pesawat Fujian, bukti industri pembinaan kapal China sedang rancak berkembang. China telah melangkah lebih jauh ke arah mewujudkan industri pembuatan yang lebih berkelas tinggi, lebih pintar dan lebih hijau.
Sorotan ketiga: pembangunan mesra alam semakin diperkasa
Di Yidu, Hubei, loji kimia telah dipindahkan ke taman perindustrian dari pesisir Sungai Yangtze. Di Yueyang, Hunan pula, penangkap ikan telah bertukar kerja menjadi penjaga ikan. Di Tongling, Anhui, ikan lumba-lumba tanpa sirip Yangtze (Yangtze finless porpoise), sejenis mamalia terancam dapat dijumpa kembali di Sungai Yangtze. Larangan memancing ikan selama sepuluh tahun di Sungai Yangtze juga mencapai hasil yang diinginkan, kualiti air Sungai Yangtze dikesan bertambah baik. Kualiti udara China secara keseluruhannya direkodkan kekal baik, manakala kualiti air direkodkan lebih baik pada separuh pertama. Penggunaan tenaga bagi per kapita KNDK telah menurun 0.4%.
Sorotan keempat: pertumbuhan jualan tiket filem tunjuk potensi industri budaya
Separuh pertama menyaksikan jumlah jualan tiket filem tumbuh 52.9% dan jumlah penonton naik 51.8%. Setakat 15 Ogos, jumlah kutipan filem pada cuti musim panas mencatat 17.8 bilion yuan. Enam yang teratas adalah filem China. Kepopularan filem juga menyuntik momentum positif kepada penggunaan. Dalam tujuh bulan pertama, jumlah jualan runcit barangan pengguna meningkat 7.3% tahun ke tahun, manakala jualan runcit perkhidmatan bertambah sebanyak 20.3% tahun ke tahun.
Sorotan kelima: kereta api kargo China-Eropah suntik momentum baharu dalam keterbukaan
Pada 29 Julai, kereta api kargo China-Eropah X8020 bertolak dari Stesen Barat Yiwu, Zhejiang menuju ke Madrid, Sepanyol. Sejak awal tahun ini, 10,000 larian kereta api kargo China-Eropah telah dilakukan. Dalam tujuh bulan pertama, jumlah nilai import dan eksport China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mencatat 8.06 trilion yuan, dengan kenaikan sebanyak 7.4%. Manakala jumlah nilai perdagangan dengan ASEAN adalah 3.59 trilion yuan, meningkat 2.8%. Kesalinghubungan di peringkat antarabangsa telah memberikan impak positif kepada pemulihan ekonomi rantau.
Sorotan keenam: pelbagai sektor industri tunjuk prestasi kukuh
Jumlah tuaian bijirin musim panas tahun ini mencatat 1461.5 kilogram, jumlah pengeluaran padi awal telah meningkat 0.8%. Dalam tujuh bulan pertama, nilai tambah perusahaan di atas saiz yang ditetapkan meningkat 3.8% tahun ke tahun. Indeks pengeluaran sektor perkhidmatan naik 5.7% pada Julai. Separuh pertama, sebanyak 6.78 juta peluang pekerjaan baharu diwujudkan di kawasan perbandaran. Pendapatan boleh guna per kapita meningkat 5.8%. Kualiti kehidupan rakyat terus bertambah baik.
Pesawat C919 buatan China pertama kali digunakan dalam penerbangan komersial tahun ini. Turbin gas 55 MW kelas F secara rasminya memulakan operasi komersial. Pesawat amfibia Kunlong telah dilengkapi dengan keupayaan untuk memadam kebakaran. China kekal kukuh mempertahankan status sebagai entiti ekonomi kedua terbesar dan negara pengilang terbesar di dunia. Skala sektor industri kekal teratas di dunia selama 13 tahun berturut-turut. Kekuatan ekonomi, kekuatan teknologi mahupun kekuatan komprehensif telah melangkah ke satu tingkat baharu.
Sorotan ketujuh: potensi pasaran cukup besar
Pada masa ini, dengan pelaburan melebihi 30 bilion yuan, projek penyimpanan tenaga bateri Baofeng tengah giat diusahakan di Taman Perindustrian Suyin, Yinchuan, Ningxia, barat laut China. Taman tersebut meniru model pembangunan Taman Perindustrian Suzhou, Jiangsu, tenggara China untuk membina satu kluster industri tenaga bersih yang bernilai 100 bilion yuan. Usaha menyeimbangkan ekonomi antara kawasan telah mencapai kemajuan yang penting, KDNK kawasan tengah dan kawasan barat masing-masing membentuk 22.1% dan 21.4% daripada jumlah negara pada 2022, meningkat ketara berbanding 21.3% dan 19.6% pada 2012.
Kini, Airbus bakal membuka barisan pengeluaran kedua di Tianjin. Projek bateri penggerak generasi ke-6 BMW juga bermula di Shenyang. Separuh pertama merekodkan pertumbuhan bilangan perusahaan pelaburan asing baharu sebanyak 35.7%. Setakat April, jumlah perusahaan yang bersifat “little giant” mencecah 12,000 dan jumlah perusahaan swasta berdaftar melebihi 50 juta.
Sorotan kelapan: pertumbuhan IHP kekal kukuh
Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 0.7% tahun ke tahun pada separuh pertama dan meningkat 0.2% bulan ke bulan pada Julai, yang juga kenaikan pertama dalam enam bulan.
Sorotan kesembilan: keselamatan makanan, tenaga terjamin
Harga bijirin adalah yang paling asas dalam harga barangan. China mengamalkan perlindungan tanah pertanian yang paling ketat dan menggiatkan kembali industri benih. Keluasan tanaman bijirin dianggar melebihi 1.77 bilion mu (118 juta hektar). Tenaga malah merupakan asas kepada sektor industri. Kini kapasiti pengeluaran dan penyimpanan minyak dan gas terus dipertingkatkan, dan sistem bekalan pelbagai tenaga bersih telah diwujudkan.
Dalam satu minit, sebanyak 110 paparan fleksibel dikeluarkan di Chengdu, 45 peti ais, 50 mesin basuh dan 64 penghawa dingin dikeluarkan di Hefei. Separuh tahun pertama, pengeluaran 620 jenis barangan perindustrian dan 332 jenis produk mencapai peningkatan melebihi 50%, memberikan sumbangan penting dalam menstabilkan harga barangan domestik bahkan global.
Sorotan kesepuluh: volum import, eksport memberangsangkan biarpun di bawah tekanan
Volum import dan eksport separuh pertama melebihi 20 trilion yuan buat pertama kali biarpun di bawah tekanan besar. Dalam tempoh itu, Pelabuhan Zhoushan di Ningbo mengendalikan sebanyak 679 juta tan kargo, peningkatan 6% tahun ke tahun. Setakat 2022, jumlah kendalian kargo Pelabuhan Zhoushan kekal terdepan di dunia selama 14 tahun berturut-turut.
Berdepan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, ekonomi China kekal maju dan menyuntik momentum positif kepada dunia dengan perkembangan yang mampan dan stabil. Sejak suku kedua, volum import dan eksport China kekal di atas 3.4 trilion yuan. Perkadaran eksport negara dalam pasaran dunia kekal stabil pada asasnya.
- Barangan Buatan China Laris di Dunia
- Unsur “Hijau” Makin Menonjol dalam Ekonomi China
- Rizab Pertukaran Mata Wang Asing China Catat USD3. 18 Trilion
- Kedinamikan Ekonomi China Terserlah Sepenuhnya
- PMI Pembuatan China Catat 50.1 Peratus pada Januari
- IMF Unjur Ekonomi Global Tumbuh 2.9 Peratus
- Lonjakan KDNK China, Bukti Dinamika Ekonomi
- Tawaran Peluang Kerja Baharu Sebanyak 12.06 Juta pada 2022
- CPI China pada Disember Naik 1.8%