- Lain-lain
Tampuk Kuasa China Bincangkan Gerak Kerja Pencegahan dan Bantuan Banjir Serta Pembinaan Semula Pasca Bencana
Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) mengadakan mesyuarat pada Khamis untuk membincangkan dan mengatur gerak kerja pencegahan dan kawalan banjir, penyaluran bantuan, pemulihan dan pembinaan semula pasca bencana. Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping, mempengerusikan mesyuarat itu dan menyampaikan ucapan penting.
Mesyuarat itu menegaskan, negara ini masih berada dalam musim banjir utama, pihak berkuasa tempatan perlu menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh dalam pencegahan banjir dan bantuan bencana dengan mengutamakan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat.
Mesyuarat itu menegaskan peri pentingnya untuk memberi amaran awal dan bertindak balas terhadap bencana dengan tepat serta memanfaatkan ikatan fungsi amaran awal meteorologi-ramalan bencana.
Yang tidak boleh ketinggalan dalam melaksanakan misi menyelamat adalah semangat kemanusiaan, dan penyelarasan yang pantas antara pasukan penyelamat bomba komprehensif kebangsaan, Tentera Pembebasan Rakyat, kor polis, pasukan penyelamat perusahaan pusat dan kumpulan sukarelawan sektor swasta.
Selain itu, dana bantuan bencana perlu digunakan secara berhemah dengan menumpu kepada infrastruktur yang musnah dalam bidang pengangkutan, komunikasi dan bekalan elektrik, beserta perladangan dan kemudahan pertanian.
Mesyuarat itu juga menekankan perlunya menghapuskan risiko yang boleh mencetuskan bencana dan menimba pengalaman, meningkatkan keupayaan dalam mencegah bencana dan mengurangkan impaknya serta bertindak balas dalam menghadapi kecemasan.