- Lain-lain
Golongan Muda Sambut Baik Konsep Pembangunan China yang Berpaksikan Rakyat - Tinjauan
Hasil dapatan tinjauan yang dijalankan kumpulan pemikir Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) menunjukkan, konsep pembangunan China berpaksikan rakyat mendapat sambutan dalam kalangan generasi muda dari serata dunia.
Tinjauan dibuat melibatkan seramai 4,700 belia berusia bawah 30 tahun dari 30 negara mendapati, 80.1 peratus responden setuju dengan konsep pembangunan China itu, manakala 84.7 peratus bersependapat bahawa jalan pembangunan sesebuah negara harus selaras dengan keadaan negara itu sendiri.
Menurut hasil tinjauan itu lagi, majoriti besar memuji pembangunan China dalam tempoh sedekad lalu.
Ia termasuk 78.9 peratus daripadanya kagum dengan prestasi ekonomi, sementara terdapat 83.1 peratus menumpukan kepada kemajuan besar yang dicapai China dalam bidang sains dan teknologi.
Di samping itu, 74.1 peratus responden berpendapat kedudukan China di persada dunia makin meningkat, dan 79.1 peratus menganggap bahawa Parti Komunis China (PKC) boleh dipercayai.
Dapatan itu turut memaparkan visi komuniti berkongsi nasib sesama insan, iaitu salah satu syor utama oleh Presiden Xi Jinping yang mendapat sokongan daripada responden di negara membangun dan negara maju, dengan masing-masing merekodkan sebanyak 84.2 peratus dan 79.5 peratus.
Selain itu, 83.5 peratus responden menyambut baik idea ‘nilai bersama semua manusia’ yang termaktub dalam laporan Kongres Kebangsaan ke-20 PKC, manakala 84.5 peratus menyokong Inisiatif Pembangunan Global.
Dalam senario ketidaktentuan pembangunan global makin meningkat dan ekonomi dunia mengalami kemelesetan, 71.1 peratus responden kekal optimistik terhadap pertumbuhan berterusan ekonomi China, dan 68 peratus percaya pengaruh budaya China akan terus meningkat.