- Lain-lain
Vietnam Giat Promosi Buah Longan ke Pasaran China
Vietnam akan terus mempromosikan buah-buahan tempatan sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa, kata pihak berkuasa di Hung Yen.
Naib Ketua Jabatan Ekonomi Jawatankuasa Rakyat Bandar Hung Yen, Tran Van Tu menyatakan pihaknya sedang bergiat aktif dalam meningkatkan kualiti buah longan untuk memastikan hasil pertanian itu lebih kompetitif dan berdaya saing di pasaran.
“China sebuah pasaran besar yang tak boleh diabaikan, jadi usaha untuk mempromosi buah longan menerusi platform e-dagang sudah giat dilaksanakan. Kami ingin melihat nama buah itu dapat diharumkan di luar negeri,” kata Tran.
Menurut kerajaan tempatan, jumlah pengeluaran longan di wilayah Hung Yen dijangka mencecah 45,000 tan pada tahun ini, dan kira-kira 35 peratus daripadanya akan diproses menjadi longan kering sebelum dipasarkan ke China.
Memetik data Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (MARD) Vietnam, China kekal sebagai pasaran eksport buah-buahan teratas Vietnam dengan bahagian pasaran sebanyak 64.7 peratus pada tahun lepas.
Kementerian Perindustrian dan Perdagangan (MOIT) pula mencatat, buah longan yang dieksport ke China pada 2022 dijangka melebihi 4,500 tan.
Prestasi eksport yang terus mantap turut membantu pengusaha ladang longan tempatan meraih pendapatan yang lebih tinggi.
Seorang pengusaha tanaman longan dari Hung Yen, Bui Xuan Tam berkata sejak 2000, beliau mula menguruskan kebun longan bersama lebih sepuluh pekebun lain.
“Permintaan terhadap longan amat tinggi sebab orang China dan orang Vietnam mempunyai tabiat memakan longan untuk penjagaan kesihatan kendiri.
“Terdapat lebih daripada sepuluh kebun di sini, yang mampu memproses dan mengeksport 500 hingga 700 tan longan kering ke China setiap tahun.
“Ia turut menjanjikan pulangan pendapatan sebanyak 1.7 bilion Vietnam Dong (kira-kira RM331 ribu) bagi setiap kebun saban tahun,” jelas Bui.